Pages

June 24, 2009

FAMA - Sediakan Pelan Pemasaran Buah Tempatan

PULAU PINANG 24 Jun - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan langkah di bawah pelan pemasaran buah-buahan bermusim bagi mengatasi masalah lambakan di samping menambah peluang pasaran baru dalam industri tersebut.


Pengarah FAMA Wilayah Utara, Ariffin Awang berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan buah-buahan tempatan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan hadapan sehingga September ini.
"Walaupun saya menjangkakan lambakan ini tidak berlaku tetapi saya tidak menolak kemungkinan akan ada sedikit lebihan.

"Sehubungan itu, FAMA telah menggariskan beberapa rancangan di bawah pelan pemasaran kami sebagai persiapan awal sekali gus memastikan buah-buahan tempatan mendapat tempat di hati masyarakat,'' katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar pada Majlis Sepetang Bersama Media, Menikmati Buah-Buahan Tempatan anjuran FAMA di Anjung Indah, Balik Pulau di sini semalam.

Menurut Ariffin, antara program yang bakal dijalankan ialah jualan buah-buahan bermusim oleh pekerja industri yang diberhentikan kerja.
Katanya, penawaran kepada golongan tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang tidak mempunyai kerja atau diberhentikan.

"Ia juga secara tidak langsung mampu menyelesaikan masalah lambakan buah-buahan jika ada di samping melahirkan seberapa ramai usahawan dalam industri ini.

"Program ini bermula 1 Julai sehingga 20 Ogos ini dan dibuka kepada 50 orang peserta di negeri ini sahaja. Jika berminat, mereka boleh menghubungi Pusat Operasi FAMA di Perai,'' jelasnya.

Selain itu, di bawah pelan tersebut, beliau turut memaklumkan pihak FAMA negeri akan mengelolakan jualan buah-buahan dalam bentuk pakej menarik menerusi program 'Parti Durian.'

Ujarnya, program tersebut bermula 1 Julai ini sehingga musim buah-buahan selesai dan semua pihak boleh membuat pesanan sehari awal dengan menghubungi pejabat FAMA di talian 04-3907222.

"Kami menawarkan tiga pakej hebat iaitu Pakej A pada harga RM180 (untuk 10 orang), Pakej B, RM450 (30 orang) dan Pakej C, RM650 (50 orang).

"Buah-buahan yang disediakan untuk pakej-pakej tersebut ialah durian, rambutan, manggis, dokong dan cempedak. Apa yang lebih menarik, kami sediakan air mineral 500 mililiter, pulut dan santan serta pinggan kertas secara percuma,'' ujarnya.

-Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...