Pages

Showing posts with label PISANG. Show all posts
Showing posts with label PISANG. Show all posts

June 5, 2010

TAPAK RECYCLE - Serangan Bermula


Oleh kerana sulur pisang tu aku tanam pada musim kemarau kuat, lebih 60% sulur mati. Yang tumbuh pun jarang-jarang ja. Kalau nasib baik, anak baru yang tumbuh. Terpaksa lah kena sulam semula.

Kelihatan pokok yang tumbuh pun jarang-jarang. Samada telah mati ataupun di cabut sang "babi".



Lebih parah lagi, serangan “babi” pun bermula. Banyak sulur2 yang baru nak tumbuh di cabut. Entah apa yang makannya aku pun tak tau.

Kemudian adalah idea2 yang di beri untuk halang “babi” ni dari masuk ke ladang. Antaranya yang aku cuba ialah penggunaan ubat gegat (nama saintifiknya naftalina kot? – yang selalu di gunakan untuk menghalau lipas dalam almari) dan sabun yang di potong kecil yang di bungkus bersama dan di letakkan di denai-denai (jalan/lorong) yang selalu di gunakan oleh “babi”. Aku cuba kaedah ni pun sebab kos nya murah..hehe



Kalau di ladang-ladang yang besar, biasanya di korek parit yang dalam di sekeliling ladang. Ini dapat menghalang bukan saja babi, lembu dan kambing, malah orang pun boleh terperangkap. Tapi tapak aku sekangkang anak kera saja, kalau buat camtu, jadi semakin kecik la tapak aku.



Setelah aku guna kaedah ni, serangan agak berkurang, tetapi tetap ada. Kalau dulu 7-8 pokok seminggu, kini ada lah dalam 1-2 pokok sebulan. Kalau camni, lama-lama akan habis jugak pokok aku ni. Ini kerana bila aku letak ramuan ni kat lorong laluannya, dalam seminggu ia akan buka laluan baru, maka banyak lah laluan baru yang di buka.Jadi banyak la juga ramuan yang terpaksa aku pacak , sedar tak sedar dah banyak rupanya benda ni aku pacak, tapi masalah tak selesai juga….macam kena main je dengan binatang ni….hehe TAK BOLEH JADI NIE….

Sehinggalah satu serangan besar-besaran bermula. Macam dia berdendam dengan aku ja… Dalam masa 2 malam berpuluh pokok di kerjakan. Panik…. Aku tak tau nak kata apadah..tengok je la…

Macam Padang Jarak Padang Tekukur ..hehe

Yang aku hairan tu, pokok pisang hutan yang bersepah sebelah kebun aku tu tak pulak di sentuh pun. Tanam Pisang hutan la pulak kalau camni....

April 30, 2010

PISANG MAS - Kalau Dah Bukan Rezeki

Dah lama tak update. Bukan apa, kabel download kamera hilang. Pastu kamera plak lingkup.... Bukan itu saja, dugaan datang lagi. 80% dari tanaman di pukul ribut di mana 80% darinya sedang berbuah (tak matang lagi).

Macam Di Serang Garuda....haha

Kebanyakannya "Patah Tengkok"


Kebanyakan Buahnya Masih Belum Boleh Di Tuai


Nasib Baik Luas Tanah Ni Sekangkang Anak Kera Saja, Jadi Sikit Je La Tanam





Kalau kat ladang, biasanya orang akan tanam jenis pisang awak atau yang berbatang besar dalam rumpun yang banyak untuk menghalang angin. Tapi biasa la, kita hanya merancang.

Jadi bukan setakat baja saja yang perlu di bubuh kat tanaman tu, DOA kepada PENCIPTA juga perlu di sertakan.

January 15, 2010

PISANG MAS - Penat Lelah Berbaloi


Selepas hampir lebih kurang 6 bulan lebih, usaha selama ni dah mula nampak berhasil walaupun tak la seberapa. Rupanya pisang boleh hidup jugak atas tanah macam ni, tapi kena usaha lebih sikit.


Buah Yang Dah Keluar....Pendek-Pendek Saja


Antara Jantong Yang Mula Keluar

Tapi jantung dan buah yang keluar pendek-pendek saja, ada la dalam 4 hingga 6 sikat. Buah pula kemetot ja. Tak tau la pulak aku memang ini standard pisang mas atau pisang aku ja yang jadi camni…..hehe.

Buah Berjuntai Di Tepi Pagar Sekolah. Aku Yakin Murid-Murid Telah Di Ajar Subjek Sivik

Akan Di Kendurikan Tak Lama Lagi


Dulu orang pernah kata ‘ Ulat Dalam Batu Pun Boleh Hidup, Tapi Tak Gemok La ‘. Macam pisang aku jugak, buah dia kecik ja pasal hidup atas batu ler tu.

Gambar Terkini Pokok Pisang Mas

Untuk makluman, sebenarnya aku guna lebihan baja padi. Baja Campuran sebagai baja pokok manakala Baja Compaun sebagai baja buah. Yer la mana ada duit nak beli baja mahai-mahai . Nak guna baja tinja ayam or lembu….nanti semua murid-murid sekolah dan tenduduk taman tu serang aku.

Sedikit Maklumat Tentang Pisang Mas
Berat setandan adalah sederhana iaitu lebih kurang 12 Kg , mempunyai 5 - 8 sisir setandan dan 14 - 18 jejari setiap sisir. Tempoh keluar jantong adalah lebih kurang 6 bulan manakala peringkat buah matang (Boleh Tuai) adalah 8 bulan.

January 14, 2010

TAPAK RE-CYCLE - Semangat Baru


Kalau sesiapa yang pernah baca posting aku bertajuk NAK TANAM CABAI Pt.1 sampai Pt.4, dan last-last kantoi gak tu tentu masih ingat dengan gambar ni yang berlatar belakangkan bukit yang indah.

Kesan Peninggalan Projek Nak Tanam Cabai Yang Ter-Bengkalai.


Masih Berlatar-Belakangkan Bukit Yang Indah. Cuma Di Cacatkan Dengan Tapak Yang Penuh Semak Samun


Kini dah lebih kurang 2 tahun terbiar, tak banyak yang berubah kecuali pondok yang sedikit usang. Yang ketara adalah rimbunan semak samun yang hidup rakus tanpa gangguan untuk membentuk ‘jerumun-jerumun’ sejenis makhluk yang pernah menjadi isu suatu masa dahulu.

Saki-Baki Polibeg Dan Sekam Yang Berterabur


Sebenarnya aku sendiri pun rasa ‘fobia’ untuk usahakan tapak ni. Tak tahu nak tanam apa kat sini. Aku rasa faktor logistik yang mempengaruhi apa yang sepatutnya di buat di sini. Tanpa sumber air, komuniti babi, kera, lotong dan seumpamanya beranak- pinak sejak turun temurun. Maklumlah di kaki bukit.


Proses Pembersihan Tapak Dan Pembajakan Tanah


Akhirnya aku ambil keputusan nak cuba usahakan lagi tapak ini dengan tanaman lain. Oleh kerana aku ada lebihan sulur anak pisang, maka pisang lah akan memenuhi tapak ini.


Proses Penanaman Sulur Telah Selesai Sepenuhnya



Kelihatan Sulur Yang Kian Mati, Akibat Cuaca Panas Dan Musim Kemarau Yang Kuat

Akhirnya proses penanaman selesai di jalankan. Sebenarnya sulur pisang ni di tanam dalam musim kemarau. Tak tau lah apa yang akan terjadi seterusnya. Tunggu…..

November 24, 2009

PISANG MAS - Cubaan Di Tanah Berbatu


Biasanya pisang di tanam di tanah ‘berlom’ dan gembur supaya senang akarnya menjalar dan menyerap baja. Tapi kali ni aku belasah jer kat tanah berbatu. Aku panggil ‘batu kawi’, tak tau la nama kat tempat lain.

Sebenarnya tanah ni adalah tanah rizab ‘ macam tanah haram le ‘ yang di tambak terletak antara sekolah dan taman perumahan. Dah hampir 10 tahun aku dok tengok tadak siapa pun sentoh. Penuh dengan hutan lalang dan pokok Akasia. So aku ambik la inisiatif cuba usaha tanah ni.


Lepas 2 bulan ditanam dan di buat batas, baru ada semangat nak hidup

Lepas ‘clear’ kan semak samun tu, baru aku tahu patut la tadak orang tanam pokok, tanahnya jenis berbatu. Patut la hanya 2 jenis pokok ni jer yang boleh hidup subur kat sini. Mau tak mau, kena la buat jugak sebab tanah dah di bersihkan.

Selepas 3 bulan, baru ada perubahan sikit

Tanah ni aku tanam dengan pisang Mas. Oleh kerana saiz pun sempit ja, aku tanam rapat-rapat supaya boleh tanam banyak (kes tamak le).


Sekurang-kurangnya ada perubahan


Lebih kurang 4 bulan, orang dah nak berbuah, dia baru ‘tenager’

Punya la siksa nak korek lubang, sekali cangkul masuk ± 2 inci ja. Itu pun dah kira cukup dalam. Lepas sebulan lebih di tanam, pokok macam malas nak hidup ja, bubuh baja pun macam tadak kesan pun. Maklum la akar mana boleh masuk dalam batu. Akhirnya ada orang cadangkan supaya di buat batas.

Gambar Terkini. Biar Lambat Asalkan Berhasil


Harapan Menggunung.....Hehe


Satu Induk, 2 Ratun. Tiru Konsep Fallahun

Oleh kerana terlalu rapat, traktor mana boleh masuk, so kena lah guna jentera ringan kuasa 4 kerat menyangkul ( itulah sebabnya Pertanian cadangkan jarak tanaman pisang adalah 10 x 10 kaki). Selepas habis melecur, menggelupas dan kematu tangan hingga mata cangkul dah jadi macam mata gergaji dok cangkul batu, akhirnya selesai la jugak proses tu.


Pemandangan Dari Taman Perumahan. Depa Kata Pokok Aku Ni Menyemak Saja...Haha

Akhirnya baru lah nampak sedikit perubahan pada pokok tu, dah mula berselera menyerap baja. Walaupun terlewat, harapan tetap ada.

Moral :
Lain kali kalau nak tanam pokok, carilah tanah yang subur dan ikut lah jarak tanaman yang di syorkan . Bukan apa sebab nanti di belakang hari banyak masalah. Kalau ikut peraturan, masalah dapat di kurangkan walaupun tak dapat di hapuskan.

July 18, 2009

PISANG DI LADANG - Mula Membuahkan Hasil

Setelah hampir 9 bulan dan menghadapi berbagai-bagai dugaan, kini tanaman dah mula beransur-ansur berbunga dan berputik. Macam-macam bentuk yang keluar, kecik, besar, pendek dan panjang bercampur. Macam perasaan aku jugak bercampur-baur. Ye la…macam lari target ja. Tapi ini lah rezki aku. Alhamdulillah....

Pembungkusan Tandan Boleh Di Lakukan Setelah Peringkat Akhir Pembentukan Sisir Selesai.

Sekarang ni proses pembungkusan tandan di lakukan berperingkat-peringkat. Ini penting bagi mengawal mutu buah dari peringkat awal. Pembungkusan dapat mengelak dari gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong (jika ada). Ia juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa proses penuaian, pengumpulan dan seterusnya penghantaran ke pusat pengumpulan/ destinasi.

Kelihatan Anak Pokok Getah Pun Dah Nak Sama Tinggi Dengan Pokok Pisang

Pembungkusan biasanya menggunakan sarung plastik polietilena berwarna atau kertas perang, tetapi kertas perang biasanya mudak terkoyak apabila basah setelah terkena hujan manakala sarung plastik tahan lebih lama dan boleh di guna berulang kali (boleh save tuuu....).

Tetapi bila aku tanya orang yang dok mengusahakan tanaman pisang, mereka kata tujuan utama pembungkusan adalah untuk mengelakkan buah pisang terdedah terus pada cahaya terik matahari yang boleh menyebabkan buah pisang jadi lebam kehitaman dan menjejaskan kualiti buah.....harga pun kureng laa..

Pembungkusan Pada Tandan Yang Telah Melepasi Pembentukan Sisir Terakhir

Oleh itu sebelum sarung plastik di kenakan, biasanya tandan pisang di balut dahulu dengan surat khabar lamee...jadi panahan terik matahari dapat di kurangkan.

Biasanya selepas pembungkusan tandan, proses pemotongan jantung di lakukan. Jantung di potong apabila selaput yang meliputi benang-sari ( hujung buah pisang) telah kering/ kehitaman atau cara mudah (kata kawan aku) apabila jarak antara jantung dan sisir terakhir melebihi 1 kaki.

Note:
Jantung Pisang Berangan Sedap Bila Di Buat Ulam (Rebus Cicah Sambal), Masak Sayur Lemak Campur Ikan Bilis Dan Lain-Lain Yang Orang Perempuan Mesti Tau Punya....hehe )



Kelihatan Daun Kuning Keperangan. Walaupun Dah Berbuah, “Layu Panama” Tetap Menyerang. Pokok Ini Serta Buahnya Terpaksa Aku Korbankan Juga Sebelum Masanya.

Oleh itu untuk menjadi petani nie, kita bukan sahaja hanya berusaha di samping berbangga dengan penggunaan teknologi moden/ canggih sahaja tetapi “DOA” kepada PENCIPTA Alam Dan Seluruh Makhluknya mestilah di sertakan kerana itulah SENJATA kita yang amat berharga.

June 10, 2009

SERANGAN KULAT - Tanaman Pisang

Dalam menguruskan tanaman pisang, masalah perosak dan penyakit perlu diberikan tumpuan. Risiko penyakit untuk pokok pisang ini berpunca dari punca penyakit yang boleh menjejaskan hasil tanaman. Oleh itu program kawalan serangga dan dan penyakit hendaklah di jalankan di peringkat awal bermula dari pokok pisang baru di tanam dan seterusnya.

Oleh itu, kebersihan ladang, cantasan daun berpenyakit dan tua, pembinaan saliran ( jika perlu) dan pembungkusan buah adalah aktiviti yang perlu di laksanakan bagi mengurangkan kos kawalan penyakit. Pengenalan kepada perosak dan penyakit tanaman pisang adalah penting bagi mengenali perosak dan penyakit di peringkat awal dan tidakan segera dapat di ambil bagi mengawal perosak dan penyakit.

Secara umumnya, penyakit/perosak tanaman pisang ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu di sebabkan oleh kulat dan juga serangga perosak.
Antara penyakit pisang yang di sebabkan oleh kulat ialah:

A) Penyakit Bintik Daun Cordona (Codona Leaf Spot)
Kulat: Cordona Musae

Tanda-Tanda Serangan
Berlaku padaperingkat pokok matang. Bintik pada daun berwarna kuning dan berbentuk bulat bujur dengan panjangnya boleh mencapai sehingga 10 cm. Pada permukaan atas daun terdapat bintik berwarna perang dan berpusar serta di kelilingi jalur berwarna kuning cerah. Bintik pada permukaan bawah daun pula mengandungi spora dan berwarna kelabu.


Gambar Kiri Adalah Di Peringkat Permulaan Jangkitan Di Mana Bintik-Bintik Panjang Mula Kelihatan Manakala Gambar Kanan Adalah Di Peringkat Serius.

Syor-Syor Kawalan
1. Ladang hendaklah bersih serta menmpunyai system saliran yang sempurna.
2. Kawal rumpai Serta Buang Sulur Yang Tidak Di Kehendaki Serta Daun Yang Telah Di Serang penyakit
3. Pembajaan Di Lakukan Dengan Secukupnya.
4. Sembur racun kulat samada Chlorothalonil atau Mencozeb (jika perlu).
5. Tanam mengikut jarak yang di syorkan.

B) Penyakit Bintik Daun @ Sigatoka Kuning Atau Hitam
Kulat: Mycospaherlla fijiensis – Sigatoka Hitam
Kulat: Mycosphaerella musicola – Sigatoka Kuning

Kulat ini senang membiak di kawasan yang lembab dan mempunyai system saliran yang kurang baik. Keadaan taburan hujan yang tinggi juga menggalakkan pembiakan kulat ini. Kulat ini boleh merebak jika keadaan cuaca sangat lembab dan berangin. Juga ianya boleh merebak melalui pemindahan daun dan sulur. Pada musim hujan, kawalan dengan racun kimia adalah disyorkan

Tanda Serangan
Serangan berlaku terutama pada daun yang matang. Pada peringkat awal serangan, terdapat bintik-bintik kecil berwarna hitam atau jalur-jalur berwarna kuning. Bintik-bintik ini akan membesar menjadi bujur seperti mata dengan bahagian tengah menjadi perang terang dan di kelilingi warna perang gelap. Bintik-bintik ini akan bercantum antara satu sama lain yang mengakibatkan bahagian daun yang di serang menjadi perang dan kering. Keseluruhannya, pokok akan kelihatan dari jauh seperti terbakar.

Serangan teruk pada peringkat pokok pisang sedang berbuah menyebabkan bilangan daun atau keluasan daun hijau yang berfungsi untuk membuat makanan berkurangan seterusnya mengakibatkan saiz buah dan bilangan “sisir” buah berkurangan. Buah muda tidak akan masak dan manakala buah yang matang akan masak lebih awal dan menjejaskan mutunya. Serangan pada peringkat pokok muda boleh mengakibatkan pokok akan mati.


Gambar menunjukkan lesi pada daun berupa jalur-jalur panjang berwarna kuning kuning kehijauan atau kuning pucat dan kemudian kering.

Pada peringkat awal, ‘tompok’ yang lebih menyerupai jalur-jalur dan berwarna kuning kehijauan atau kuning pucat seperti luka-luka kecil terdapat pada daun. Panjangnya lebih kurang 1.0 – 10.0 mm dan lebarnya 0.5 – 1.0 mm selari dengan urat daun dengan bentuk yang lebih jelas pada pandangan atas daripada pandangan di bawah daun. 

Luka-luka ini akan membesar dan berwarna perang gelap dan di tenngah bintik menjadi kering berwarna kelabu. Pelepah daun akan kering dan kelihatan seperti terbakar sebelum daun sempat matang.


Kelihatan Jalur-Jalur Panjang Berwarna Perang Dan Kekuningan Pada Daun.

Pada musim pokok sedang berbunga, daun yang ketiga atau keempat di pertengahan pokok akan kelihatan berjalur-jalur kuning muda atau hijau perang selari dengan urat daun (lebih kurang 1–2mm panjang). Daun kelima dan keenam berbintik perang atau hitam sehingga 100 mm panjangnya. 

Pada daun yang lebih tua, bintik-bintik bewarna kelabu muda dengan sisi bintik bewarna perang tua atau hitam dan dikelilingi oleh jalur kuning akan kelihatan. Kumpulan spora akan kelihatan sebagai bintik kelabu yang kecil terutamanya semasa keadaan cuaca yang lembab. Pada keadaan yang teruk, pengeluaran buah akan berkurangan, ia tidak akan matang serentak dan buah kurang berisi.


Syor-Syor Kawalan
1. Ladang hendaklah bersih serta menmpunyai system saliran yang sempurna.
2. Buang Sulur Yang Tidak Di Kehendaki Serta Daun Yang Telah Di Serang Penyakit.
3. Sembur Racun Kimia Yang Di Syorkan Setiap 10 Hari Sekali.
4. Racun kulat yang boleh di gunakan adalah seperti Mencozeb, Benomyl, Tridemorph, Propiconazole, Maneb dan Thiophnate-Methyl (Pilih la mana-mana yang murah hehehe….)
Untuk lebih berkesan, campurkan sedikit minyak seperti Orchex dalam bancuhan racun tadi bagi melanjutkan kedudukan racun pada daun.
5. Tanam mengikut jarak yang di syorkan.

Note:
Sebenarnya kalau di lihat pada simptom serangan dan kesan serta cara kawalannya pada pokok pisang untuk 2 jenis penyakit di atas adalah sama asalkan serangan nya di sebabkan oleh kulat dan berlaku pada daun

.Gambar ini dari kebun aku sendiri. Pokok aku banyak kena penyakit macam nie. Walaupun aku post kan artikel pasal penyakit daun pokok pisang ni, aku sendiri pun tak tau nak bezakan yang mana Sigatoka Hitam @ Kuning atau Cordoba. Tapi yang penting cara kawalannya adalah sama dan masih boleh di kawal.

Oleh kerana pokok aku dah mula berbunga (berjantung), aku tak buat apa-apa langkah kawalan pun. Yang mana teruk sangat di serang, aku pangkas aja pelepah dia….tapi teruk la jugak hehehe.

C) Penyakit Layu Panama Atau Layu Fusarium (Fusarium Wilt)
Kulat : Fusarium oxysporium

Dalam keadaan yang sesuai, spora kulat Fusarium akan memasuki akar pisang melalui tebukan dan kerosakan bermula di sebabkan serangan nematod atau luka pada bahagian akar. Pembiakan kulat seterusnya berlaku di dalam saluran system pemakanan pisang tersebut terutama di bahagian umbisi. Akibatnya saluran makanan tersumbat dan mengganggu pengaliran air dan zat makanan.

Tanda Serangan
Tanda awal penyakit ini ialah daun muda yang belum kembang telah menjadi kuning muda dan mati. Bagi pokok-pokok tua, serangan bermula di bahagian tepi daun yang menunjukkan klorosis dan seterusnya merebak ke tulang daun. Lama kelamaan tangkai daun menjadi lembik, layu dan pelepah akan patah. Daun kemudian mati terkulai mengelilingi batang.


Gambar menunjukkan klorosis bahagian tepi pada daun tua yang akan merebak ke tulang daun


Gambar menunjukkan daun terkulai mengelilingi batang

Bahagian yang diserang akan reput dan berbau busuk. Jika keratan dibuat pada batang, terdapat garis-garis perang atau hitam di sepanjang batang


Gambar menunjukkan garis-garis perang dan hitam pada keratan batang

Penyakit ini biasanya bermula dengan adanya bahan tanaman yang telah dijangkiti dipersekitaran. Fusarium oxysporum boleh bertahan bertahun-tahun di dalam tanah. Layu Fusarium adalah penyakit serius dan belum lagi ada bahan kimia yang berkesan yang mampu mengawal atau menyembuh penyakit ini. Kulat ini terletak dibawah kumpulan Ascomycetes berfilamen dan adalah daripada kumpulan deuteromycetes dimana fasa seksualnya masih belum ditemui. Fusarium oxysporum mengeluarkan 2 jenis konidia, satu berbentuk bulan sabit dan besar, satu ligi bulat dan kecil.

Pokok yang bermasalah hendaklah diasingkan dan di musnahkan (di syorkan di bakar – jaga2 beb..kang terbakar kebun tu,,,hehe). Tanah bolehlah disembur dengan penyahjangkit atau bahan pewasap (fumigant) dan ditutup dengan lapisan plastik. Elakkan dari menanam pada tanah yang bertakung dengan air. Bahan tanaman asal mestilah diperolehi dari ladang yang tidak dijangkiti atau gunakan bahan tisu didik yang baik. Pengairan di ladang tanaman mestilah baik untuk mengelak air bertakung.

Syor-Syor Kawalan
Aku sendiri pun tak tau apa kawalan yang sepatutnya di buat. Apa yang aku praktik sekarang ni, bila ada je symptom tu, cepat-cepat aku cabut pokok tu. Dah banyak pokok aku yang kena cabut. Cuma aku yang belum cabut lari lagi. Kalau nak tengok apa yang aku buat, tengok la posting aku dengan tajuk LAYU PANAMA

Tapi ada yang cadangkan taburkan belerang di sekitar lubang yang nak di tanam. Ada jugak yang cadangkan siramkan dengan Effective Micro-Organisma (EM) pada setiap pokok bila dah ada serangan. Kalau nak tau pasal EM ni, sila rujuk dalam Forum Bicara Jutawan. Macam-macam ada di bincangkan di sana. Sila Lawat http://www.bicarajutawan.com

Tapi semua adalah cadangan,belum di buktikan keberkesanannya. Entah betul ke tidak. Tapi tak rugi kalau mencuba dan aku belum cuba lagi. Tak sempat beb…..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...